2009
Untuk kisah ini, aku memang sebolehnya nak 'drag' panjang-panjang. Aku nak 'detail' kan semua pengalaman aku. Perancangan asal dari aku tahun 1 (2006) lagi iaitu (2 tahun sebelum trip ni). Arwah Pok Abah (senior) selalu cerita pengalaman dia pergi ke Syria. Arwah pergi 2 kali sebab tu banyak cerita dia. Mulanya aku dan Affuw (kawan sebilik) memang berhajat sangat. Tapi rezeki aku je yang sampai.
Setahun sebelum tu aku dah diajak ke Jordan, tapi atas beberapa faktor aku tangguhkan dulu. Alhamdulillah tahun 2009 aku betul-betul bersedia. Antara faktornya,aku baru habis imtihan fasal 1 dan kemudian aku ada beberapa orang yang akan turut serta. Proses nak kumpul orang pun kena berhati-hati, tak nak la 'last minute' tarik diri naya teman. Maksimum kalau boleh aku nak 4 orang je dan minimum 2 orang. Tak mau ramai, sebab nanti banyak kepala. Nak naik teksi pun senang.
Untuk trip ni aku berjaya tarik Shareez Fareedah (kawan di Mansurah), kemudian aku berjaya ajak Yasier (kawan di Kaherah). Dan 'last minute' Shareez berjaya ajak kawan dia Khair Munif (Damanhur). Kebetulan dia pun ada kenalan di Syria, dan ini memudahkan perjalanan kami nanti. Untuk perjalanan ini, aku hanya menyediakan RM2700 sahaja untuk semua sekali termasuk makan minum,pengangkutan dan penginapan. Pandai-pandai la nak 'survive'.
Kami memulakan perjalanan dari Mansurah berempat dengan menaiki bas dan tiket terus ke Syria. Pada hari bertolak, agak sedikit kelam kabut sebab macam-macam nak siapkan. Waktu tu pun aku tempah nasi sambal ayam kering dengan seorang kawan akhawat aku di Mansurah ni,aku upah dia masakkan sebab tak sempat nak buat sendiri. Makanan ni aku siapkan untuk bekalan dalam perjalanan nanti. Walaupun stesen bas tu tak adalah jauh mana pun tapi kawasan Dirasaat ni memang 'jem' lagi-lagi lepas maghrib. Dalam berlari-lari tu kami semua sempat juga sampai walaupun tercungap-cungap.
Perjalanan kami malam tu bermula jam 8 malam, ada la beberapa kawan yang lain sudi hantar ke stesen bas. Kami naik bas east delta dengan tambang sebanyak 120 dolar (LE650) termasuk tiket kapal laut dan bas terus ke Syria. Perjalanan dari Mansoura ke pelabuhan Nuweiba memakan masa lebih kurang 6 jam. Sebenarnya kami lupa nak isi perut dulu sebelum bertolak, sepanjang perjalanan tu memang kena tahan perut sikit,ni kan musim sejuk jadi perut cepat lapar. Nasib baik bas ni berhenti di hentian rehat, dapatlah kami isi perut. Aku pun tak tahu kat mana bas ni berhenti awal pagi buta ni, sepanjang jalan kedai ni je yang buka. Waktu tu aku ingat lagi kami makan daging dalam tin, kalau boleh nak rasa 'mukhallal' juga tapi makan di kedai pelik-pelik ni takut sakit perut pula.
Jam 3 pagi kami sampai di stesen bas Nuweiba'. Awal juga sampai, tak tahu nak buat apa. Kawasan sekeliling tu kosong semacam,kedai pun tak ada. Semuanya nampak bukit bukau je. Nasib baik berempat, ada la juga kawan berborak. Tak lama lepas tu aku perasan ada benda tak best berlaku, Yasier tertinggal sekotak 'Indomee' yang aku siapkan sebagai bekalan. Kesian dia,termanggu je muka.
Hari semakin siang, kawasan stesen bas mula didatangi beberapa teksi yang menawarkan perjalanan ke Dahab. Dari Nuweiba' ke Dahab dalam 69km lebih kurang 1 jam perjalanan. Disini memang terkenal dengan pusat perlancongan sebab dikelilingi laut merah.
Kami terpaksa menunggu sehingga jam 10 pagi untuk urusan keluar Mesir. Selesai beberapa perkara kami terus beratur menunggu giliran naik ke atas kapal tepat jam 12 tengahari. Bila melepasi sahaja pagar imigresen semua orang berlari naik ke dek kapal. Rupa-rupanya diorang nak 'chop' tempat yang selesa dan boleh berbaring. Patutlah aku nampak arab bawak 'lihaf' (selimut tebal), diorang akan hampar atas lantai dan terus tidur. Keadaan dalam kapal tu sebenarnya tak selesa sangat. Banyak kemudahan tak berfungsi. Tandas tersumbat, ruang dalam dek kapal tu sempit, siling rendah dan yang paling aku tak tahan orang arab ni hisap rokok dalam kabin kapal, aduh pening kepala.
Kapal yang sepatutnya bertolak pada jam 2 petang masih tidak bergerak lagi dari pelabuhan. Kami yang dari pagi tak sarapan terpaksa mengisi perut dulu sebab dah tak tahan sangat. Jam 3 petang, baru kapal mula mengangkat sauh perlahan-lahan bergerak menuju ke pelabuhan Aqaba` Jordan. Kami dan beberapa pelancong (bukan arab) kemudiannya diminta menyerahkan pasport untuk diurus oleh pihak imigresen.
Terasa agak lama di dalam kapal yang penuh dengan manusia,dan hampir keseluruhan dari mereka menyeberangi laut merah untuk mencari pekerjaan di Jordan. Tekak pun mula tidak selesa dan kepala menjadi panas,maklum saja cuaca di luar sejuk dengan tiupan angin. Bahagian dalam kapal pula panas. Tak ada apa-apa aktiviti pun yang boleh dibuat dalam kabin, sebab ramai sangat orang. Kami hanya ambil peluang untuk 'charge' telefon dan tidur sahaja. Tidur pun dalam keadaan duduk, sangat memenatkan. Sekali sekala lepak di luar kabin untuk ambil angin, tapi tak lama sebab terlalu sejuk.
Selepas hampir setengah hari berada di dalam kapal,kami pun selamat tiba di pelabuhan Aqaba` jam 9 malam. Kami pun perlahan-lahan berjalan keluar untuk melepasi imigresen. Perasaan gembira tu dah ada sikit sebab kami dah melepasi Mesir,dan kami akan masuk ke 'chapter' yang seterusnya. Punyalah ramai arab Mesir malam tu, diorang bawa segala macam barang ke Jordan. Peti ais pun bawa sekali.
Malam tu aku nampak satu lori yang penuh dengan muatan barangan penumpang. Lori tu longgok barang-barang diorang atas lopak air je. Kesian betul,nak buat macam mana dah perangai diorang macam ni.
Nama setiap penumpang akan dipanggil untuk ambil pasport dan melepasi imigresen, tapi makin lama nama kami masih belum dipanggil. Gelabah juga waktu tu sebab kami kena kejar bas,takut nanti bas dah bergerak. Bila ditanya, rupanya kami kena masuk pejabat untuk ambil sendiri. Kiranya pasport kami tak duduk sekali dengan arab Mesir. Bila dah ambil pasport, kami kena berjalan masuk dalam satu lorong gelap. Dalam lorong tu ada beberapa orang polis berpakaian preman yang berjaga dan polis disitu akan bertanya kemana destinasi kami. Kami hanya maklumkan yang kami menuju ke Syria.
Keluar sahaja dari lorong tu, kami perlu cari bas yang akan ke Syria pula. Diluar tu banyak sangat bas yang menunggu, tapi ada satu sahaja bas yang akan ke Syria. Mujur masih ada.
Bila naik atas bas, perasaan teruja tak dapat nak dibendung lagi sebab dah mula nampak 'mukaddimah' Syria. Pemandu bas orang Syria dan penumpang lain pun kebanyakkannya orang Syria. Mulalah kami menghayati lenggok dan telo bahasa arab Syria. Sewaktu aku menaiki bas,aku tengok pemandu bas tu sedang berborak dengan salah seorang penumpang tapi rupanya dia sedang marahkan penumpang tu. Kami mati-mati ingat dia berborak. Punyalah lembut bahasanya. Dalam bas waktu ni pun tak ramai, tak lebih 20 orang penumpang. Aku pun terus ambil tempat duduk dan bertenang sementara menunggu bas bergerak.
Tepat jam 10 malam bas pun mula bergerak.
Bersambung..
#travel #jordan #syria
#travel #jordan #syria




Comments