Skip to main content

Damsyik dan Istanbul #3

(maqam Muawwiyah Ibn Abi Suffian)

Di Syria penggunaan internet sangat terhad. Bayangkan hanya ada beberapa 'cyber cafe' yang menawarkan panggilan antarabangsa. Dan tak semua laman internet kita boleh layari. Blog dan friendster pun tak boleh buka. Caj yang dikenakan pula agak tinggi, jauh beza dengan di Mesir.

Di rumah pelajar kita di sini memang sangat 'basic', rumah diorang tak ada talian internet. Aku yang sampai Mesir tahun 2006 pun dah meriah internet di Mesir, tapi lain di Syria. Kerajaan dia sangat tertutup, nak ambil gambar pun tak boleh sebarang tempat. Banyak benda yang disekat. Aku terkejut masa mula-mula sampai rumah diorang, bilik Basil penuh dengan cd movie, sedinding penuhnya macam susun kitab. Sebab tak ada internet,tak boleh nak download.

Antara aktiviti wajib kami di Syria ni adalah makan. Kami mencuba setiap makanan di sini. Sedap dia masyaALLAH. Benda pertama yang kami buat ialah makan syawarma, ada pilihan seperti daging lembu dan juga kambing,menariknya syawarma disini adalah kerana ia lebih 'juicy'. Harga pula lebih kurang 50 Lira. Seterusnya Kunafeh, setiap kali pulang dari berjalan di luar, pasti kami akan singgah ke kedai 'kunafeh' atau lebih dikenali sebagai 'Nablusi' yang berharga 35 Lira sepinggan. Percaya tak kami lakukan benda ni setiap hari sepanjang berada di Syria. Sarapan pagi disini memang meriah, seronok sangat bila tengok arab tu hidang 'hummous', zaitun dimakan pula dengan aish (roti), telur dadar, 'mukhallal' (jeruk) dan lain-lain lagi.

Kalau nak dibandingkan dengan Mesir, pasar di Mesir memang lagi meriah. Contoh macam jual buah, kalau di Mesir buah akan dilonggok je atas kereta tolak. Tapi kalau di Syria, buah-buahan akan dibungkus siap dalam bekas plastik. Kita tak boleh pilih-pilih dah, ambil dan terus bayar. Ini berdasarkan pengalaman aku. Kedai-kedai pun akan dibuka sedikit lewat dan akan tutup awal. Suhu waktu malam akan lebih sejuk dan tak ada orang pun nak keluar. Satu malam kami keluar pergi cafe arab, nak minum syai (teh). Kami terpaksa berjalan jauh sikit sebab nak cari cafe. Sepanjang jalan tu ada 1-2 cafe sahaja yang beroperasi,kedai lain semua tutup. 

Dari segi pergaulan, masyarakat arab disini pula orangnya kurang ramah. Susah sikit nak senyum,tapi bila dah mula berborak ok je. Masing-masing lebih suka buat hal sendiri. Orang lelakinya pantang kalau tengok kita berborak dengan orang perempuan. Sampai kami pernah tengok satu cetakan baju di kedai souviner tertulis 'dont disturb our women'. Nak kata perempuan dia cantik sangat sampai diorang bagi amaran siap-siap. Tapi memang diakui, dalam banyak tempat aku pernah pergi setakat ni, orang Syria memang diakui kecantikkannya. Budak-budak Malaysia disini pun selalu bergurau, kalau nak tengok bidadari,awal pagi tunggu diluar rumah. Kita boleh tengok budak-budak keluar pergi ke sekolah beramai-ramai, ada mata biru ada mata hijau, kulit putih melepak, tubuh pula sederhana, tak tinggi dan tak terlalu rendah.

Kami tinggal selama 5 hari di Damsyik, pelan asalnya Faruq bercadang untuk bawa kami ke Haalab. Tapi tersekat sebab Farouk kena mulakan kelas awal. Kami beruntung sebab masa kami sampai di Damsyik mereka semua dapat cuti. Kami kemudian menyusun semula perjalanan,sebab tak nak buang banyak masa.

5 hari pertama di Damsyik,

Tempat wajib yang mesti dilawati semasa di Damsyik ialah Masjid Umawi. Damsyik satu masa dulu pernah jadi pusat pemerintahan Islam semasa zaman Muawwiyah Ibn Abi Sufyan. Masa aku belajar dulu, pernah seorang isteri Muawwiyah mengarang satu syair meratap pemergiannya ke Damsyik sebab terpaksa ikut suami. Dia tulis tentang kerinduannya yang amat sangat di Madinah.

Untuk sampai ke Masjid Umawi, kita mesti lalu Souq Hamidi. Pasar ni sangat terkenal, tak dikira sampai Damsyik kalau tak masuk ke pasar ni. Yang istimewanya disini ialah, aiskrim Syria yang ada dijual. Aiskrim ni buat sendiri tau! orang sini panggil aiskrim ketuk-ketuk. Kemudian ia akan ditabur dengan kacang cerdik (pistachio) yang sudah ditumbuk. Terdapat banyak kedai yang dibuka di pasar ini yang kebanyakkannya menjual barangan cenderamata dan juga rempah-ratus. Boleh juga kalau nak disamakan dengan Souq Hussein di Kaherah cuma Souq Hamidi ni berbumbung.

Kebetulan semasa kami melawat Souq Hamidi, satu upacara menangisi pemergian Saidina Hussien sedang diadakan. Kebanyakkan mereka adalah penganut syiah dari India. Di sepanjang jalan menuju ke Masjid Umawi mereka berarak sambil memegang bendera berwarna kuning yang tertulis Hussein serta Karbala'. Mereka meratap menangis, serta melakukan upacara memukul badan dengan pisau,sehingga mengalir darah-darah. Tak kurang ada menoreh di bahagian kepala.

Keistimewaaan Masjid Umawi pula terletak dalam banyak sudut, selain menjadi tempat ibadat masjid ni sudah melalui banyak fasa pemerintahan. Dari pemerintahan Abbasiyah, Fatimiah, Seljuk, Ayubi hingga ke Mamluk. Masjid ni penting sebab akan menjadi tempat turunnya Nabi Isa AS di salah satu dari 2 menara ketika berhadapan dengan Dajjal. Disekeliling masjid pula, terbahagi beberapa penempatan antaranya penempatan Nasrani dan juga Yahudi yang telah ditetapkan lama dahulu. Di bahagian dalam masjid, kita boleh lihat maqam Nabi Yahya AS dan juga tempat dimana kepala Saidina Hussien ditanam. Kami berkesempatan untuk menziarahi maqam termasuk kubur panglima perang Salehuddin Al-Ayubi yang juga dimaqamkan disini.

Antara kawasan yang kami lawati pada 5 hari pertama di Damsyik adalah menziarah kawasan perkuburan 'Bab Soghir',yang mana terletaknya maqam para sahabat dan juga isteri-isteri Nabi Muhammad S.A.W seperti Muawwiyah Ibn Abi Suffian, Ummu Habibah, Ummu Salamah, Sayyid Muhammad Salim Ridha Murtadha, Abdullah bin Ummu Maktum dan juga menempatkan kepala-kepala para syuhada' semasa perang Karbala,antaranya ialah kepala Osman bin Ali, Jaafar bin Ali, Jaafar bin A'qil, Habib bin Muzohir, Abdullah bin A'qil dan ramai lagi hampir 16 kepala kesemuanya. Dan apa yang menarik perhatian kami adalah kunjungan pengikut-pengikut Syiah disini,dan difahamkan ketaksuban mereka terhadap keluarga Sayyidina Ali Bin Abi Talib menyebabkan mereka berkunjung ke sini sepanjang tahun.

Di perkuburan ini juga terletak maqam Saidina Muawwiyah Ibn Abi Sufyan. Maqamnya ditutup rapi dengan besi. Sebab kalau tak dibuat begitu pasti pengikut syiah akan cuba rosakkan, bahkan mereka akan meludah ke maqam tersebut jika ke sana. Jika korang berpeluang untuk datang sendiri ke Damsyik, korang akan lihat banyak perkara khurafat yang biasa pengunjung syiah lakukan seperti contoh menyangkut 'pad lock' dan melontar duit ke kuburan, masing-masing dengan tujuan semoga diperkenan doa mereka. 

Selesai menziarahi kawasan 'Bab Saghir',kami meneruskan perjalanan ke Universiti Damsyik. Kawasan universiti yang luas dihiasi dengan pintu gerbang berwarna putih yang sangat indah.  Berhampiran dengan kawasan pejabat universiti terletaknya maqam Ibn Taymiyah RA, tapi sedih umpama kawasan tinggalan sampah sarap sahaja akibat tak dijaga.


(Kawasan bukit di Makam Arbaein)

Kami hanya sebentar disitu,kemudian kami terus mengambil bas untuk ke 'Masakin' atau 'Hittin Square' untuk menziarahi  Maqam Arbaien (Makam 40 Nabi) yang terletak di Jabal Qasiyun. Oleh kerana kawasan tersebut terletak di puncak bukit. Maka kami terpaksa menyewa lori kecil untuk ke puncak. Lori hanya boleh membawa kami sampai ke kawasan penempatan sahaja disebabkan jalan yang agak curam,kemudian kami berjalan kaki menyelusuri kawasan rumah penduduk disini selain mendaki bukit untuk sampai ke puncak.

 Alhamdulillah,laluan pejalan kaki telah disediakan anak tangga memudahkan kami untuk ke atas. Sampai sahaja diatas dapat dilihat pemandangan yang sangat menarik seluruh Kota Damsyik dan difahamkan ianya bertambah indah apabila waktu malam dengan hiasan neon menghiasi setiap penjuru kota tersebut.

Sampai di makam 40 Nabi,kami diterangkan tentang kawasan tersebut oleh seorang penjaga makam  dan juga dibenarkan untuk melihat tempat beribadat Nabi Ibrahim A.S dan seorang nabi lagi yang aku terlupa. Masjid ini seolah-olah dibina di dalam gua dengan lampu kuning menghiasi setiap penjuru masjid. Selesai melakukan solat, kami pun berehat diluar sambil menikmati pemandangan petang.

Petang pun semakin menjengah malam, maka kami perlu segera untuk beredar pulang, sambil menuruni bukit kami berseilisih dengan beberapa orang penduduk tempatan. Tatkala melihat mereka yang tinggal disini, terbit perasaan kagum apabila melihat kesungguhan anak-anak kecil yang baru pulang dari sekolah dari kawasan tanah rata, berulang-alik setiap hari dan tak jemu untuk mendaki bukit yang begitu memenatkan. Kata orang 'alah bisa tegal biasa'.

Sampai dibawah, apa lagi kan! Masa untuk mengisi perut. Kami kemudiannya dibawa makan nasi mandy ala Syria.

Bersambung..

Comments

Popular posts from this blog

Makanan saya hari ini..

Bismillah,, Saya tak nak cakap banyak pun untuk entry ini.. Terus pada topik,hari ini penuh sejarah,makanan kami satu rumah amat menarik iaitu nasi lauk kari. Tapi apa yang menjadi perbualan hangat kami serumah ialah dengan penemuan 2 ekor lipas dalam lauk tengahari kami. Tapi yang menghangatkan lagi apabila semua hadirin yang menikmati makanan buat muka macam tak ada apa-apa yang berlaku. Dan kami terus meneruskan santapan dengan hati yang terbuka. Saya sendiri tak tahu nak bertindak macam mana,kerana kalau dibuang lauk pauk dan nasi itu. Ibaratnya kami dah tak ada apa-apa untuk dimakan. Oleh itu,kami terpaksa berlakon "slumdog" untuk meneruskan hidup.

Damsyik dan Istanbul #2

Mansurah-Damsyik-Istanbul 2009 #2 Sepanjang malam bas kami bergerak dari pelabuhan Aqaba' ke Damsyik, adakala aku tak dapat nak lena. Mata aku cuba melihat keluar dalam kegelapan malam. Seketika aku terpandang seolah-olah timbunan salji tapi rupanya bukan,hanyalah timbunan pasir-pasir putih. Mungkin sebab tak sabar sangat pertama kali nak main salji. Di Mesir walaupun sejuk tapi tak turun salji, kalau nak rasa kena pergi Sinai, itu pun belum tentu ada lagi. Tapi kalau di Jordan,Syria dan negara sekelilingnya pasti ada. Sambil tu aku berkira-kira berapa lama perjalanan kami kali ini. 2 kali bas berhenti di hentian rehat, tapi kami semua tetap tak berganjak dari tempat duduk. Padahal perut dah berkeroncong bagai nak gila. Bukan tak mahu turun, tapi dalam poket tak ada dinar Jordan, yang ada hanya dolar US sahaja. Kalau bayar pakai dolar belum tentu diterima. Terpaksa la tahan perut sepanjang malam tu. Makanan ringan pun dah habis, tak ada apa yang boleh dijam...

Hari ini?

Salam,,ari ni malas nak buat ayat skema..nak tenang-tenang jer. Tak taw nak tulis aper,akceli kepala masih terasa panas badan pun lebih kurang dah nih. Pegi kuliah macam biasa tapi kelas start lepas 2nd half,bleh ker wat ayat macam tu? Tak per la tibai jer,,sekali sekala. Mood alhamdulillah ok baik dan tenang tapi sebab nafas terasa panas tu yang kekadang buat rasa macam nak demam,mintak-mintak dijauhi..banyak lagi nak cover kitab. Nak ulang hafalan Al-Quran lagi..walaupun dah direndahkan ' qarar' ,tapi tu bukan bermaksud Azhar tak ' syadid' . Sapa belajar kat Azhar tau la tang mana 'hebatnya' Al-Azhar tu. Selesai hantar borang tajdid iqamah,terus pegi Turin (amin daulah)..dengan selamba Pak Long (jaga polis) tu kata datang balik pukul 10. Takpe kerana hati ini sudah keras dengan perangai arab, aku dan shasha senyum 'gembira sambil meloncat-loncat '. Lepas tu amik teksi,cakap ngan ammu tu kami nak pegi Murur,dan dengan penuh keyakinan dan keazaman ...