Skip to main content

Salman Al-Farisi yang berjiwa besar


Selain mukjizat Al-Quran yang diturunkan Allah kepadanya dan sabda-sabdanya (as-sunnah) yang keduanya dijadikan sebagai petunjuk bagi umat manusia, Rasulullah juga telah membentuk dan mewariskan sahabat-sahabat yang mulia dengan karakter yang unik dan memiliki potensi dan kecekapan yang berbeza-beza tetapi akhlak mulia menempatkan mereka pada jalur dan tujuan yang sama. Kita kenal para khulafa ar-rasyidin Abu Bakar Assiddiq, Umar Bin Khattab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib,mereka adalah pemimpin dan penegak panji Islam setelah rasulullah wafat. Bagaimana kepemimpinan mereka ketulusan dan keikhlasan mereka mungkin kita telah mendengar atau membacanya dan sangat menarik untuk diikuti.

Dalam sirah sahabat kali ini akan menceritakan tentang Salman Al Farisi sahabat dari Persi (Iran), Seorang pemuda yang gagah lagi berharta tetapi kesungguhan, keikhlasan dan kesabarannya dalam mencari kebenaran hakiki telah menempatkannya menjadi salah satu sahabat mulia.

******

PENCARI KEBENARAN

Marilah kita dekati dan dengarkan kisah menakjubkan yang diceritakannya!

“Aku berasal dari Esfahan,penduduk daerah yang bernama “Ji”. Ayahku seorang penghulu di daerah itu, dan aku merupakan anak yang paling disayanginya. Aku menghambakan diri dalam agama majusi, hingga diserahkan tugas sebagai penjaga api yang bertanggung jawab untuk menyalakannya dan tidak membiarkannya padam.


Ayahku memiliki sebidang tanah, dan pada suatu hari aku disuruh ke sana. Dalam perjalanan ke tempat tujuan, aku berhenti di sebuah gereja milik kaum Nasrani. Aku mendengar mereka sedang bersembahyang, maka aku masuk ke dalam untuk melihat apa yang mereka lakukan. Aku kagum melihat cara mereka bersembahyang, dan aku berkata di dalam hati: “Ini lebih baik dari apa yang aku anuti selama ini!” Aku tidak beranjak dari tempat itu sampai matahari terbenam, dan tidak jadi pergi ke tanah milik ayahku serta tidak pula kembali pulang, hingga ayahku menghantar orang untuk menjengukku .
Kerana agama mereka menarik perhatianku, aku bertanya kepada orang-orang Nasrani dari mana asal-usul agama mereka. “Dari Syria”,ujar mereka. Ketika telah berada di hadapan ayahku, aku katakan kepadanya: “Aku berhenti pada suatu kaum yang sedang melakukan upacara sembahyang di gereja. Upacara mereka begitu mengagumkanku. Aku lihat pula agama mereka lebih baik dari agama kita”. Kami pun bersoal-jawab dan berakhir dengan aku dirantai dan dipenjarakan.
Kepada orang-orang Nasrani aku kirimkan berita bahawa aku telah menganut agama mereka. Aku minta pula agar bila datang rombongan dari Syria, supaya aku diberi tahu sebelum mereka kembali, kerana aku ingin mengikut serta bersama mereka ke sana. Permintaanku itu mereka kabulkan, maka aku putuskan rantai. Lalu meloloskan diri dari penjara dan bergabung dengan rombongan itu menuju Syria.Sesampainya di sana aku bertanya seorang ahli dalam agama itu, dijawabnya bahawa dia adalah paderi pemilik gereja. Maka datanglah aku kepadanya, aku ceritaakan keadaanku. Akhirnya tinggallah aku bersamanya sebagai pembantu melaksanakan ajaran mereka dan belajar. Sayangnya paderi ini seorang yang tidak baik agamanya, kerana dia mengumpulkan sedekah dari orang-orang dengan alasan untuk dibahagikan,akan tetapi disimpan untuk kegunaan peribadi. Kemudian paderi itu wafat dan mereka mengangkat orang lain sebagai penggantinya. Dan aku lihat tak seorang pun yang lebih baik agamanya dari paderi baru ini. Aku pun mencintainya demikian rupa, sehingga hatiku merasa tak seorang pun yang lebih kucintai sebelum itu daripadanya.

Dan tatkala ajalnya telah dekat,aku bertanya kepadanya: “Sebagaimana yang engkau tahu, telah dekat saat berlakunya taqdir Allah atas dirimu. Maka apakah yang harus aku buat, dan siapakah sebaiknya yang harus aku hubungi. “Anakku!”, ujarnya: “Tak seorang pun menurut pengetahuanku yang sama langkahnya dengan aku, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Mosul”. Lalu tatkala ia wafat aku pun berangkat ke Mosul dan menghubungi pendeta yang disebutkannya itu. Aku ceritakan kepadanya pesan dari paderi tadi dan aku tinggal bersamanya selama waktu yang dikehendaki Allah.



Kemudian tatkala ajalnya telah dekat pula, kutanyakan kepadanya siapa yang harus aku turuti. Maka dia menunjukkan tentang orang soleh yang tinggal di Nasibin. Aku datang kepadanya dan aku ceritakan perihalku, lalu aku tinggal bersamanya selama waktu yang dikehendaki Allah. Tatkala ia hendak meninggal, kubertanya pula kepadanya. Maka disuruhnya aku menghubungi seorang pemimpin yang tinggal di ‘Amuria, suatu kota yang termasuk wilayah Romawi. Aku berangkat ke sana dan tinggal bersamanya, ketika itu aku menyara hidup dengan menternak lembu dan kambing dengan jumlah yang banyak.

Kemudian dekatlah pula ajalnya dan kutanyakan padanya kepada siapa aku percaya. Ujarnya: “Anakku.’ Tak seorang pun yang kukenal serupa dengan kita keadaannya dan dapat kupercayakan engkau padanya. Tetapi sekarang telah dekat datangnya masa kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Ibrahim secara murni. Beliau nanti akan berhijrah ke suatu tempat yang ditumbuhi kurma dan terletak di antara dua bidang tanah berbatu-batu hitam. Seandainya kamu dapat pergi ke sana temuilah beliau, beliau mempunyai tanda-tanda yang jelas dan nyata. Beliau tidak mahu menerima sedekah, sebaliknya bersedia menerima hadiah dan di bahunya ada tanda kenabian yang bila kau melihatnya, kau akan mengenalinya.

Kebetulan pada suatu hari datanglah suatu rombongan berkenderaan, lalu kutanyakan dari mana mereka datang. Tahulah aku bahawa mereka dari jazirah arab, maka kataku kepada mereka: “Mahukah kalian membawaku ke negeri kalian, dan sebagai ganjarannya aku berikan kepada kalian lembu-lembu dan kambing-kambingku ini?” “Baiklah”, ujar mereka. Demikianlah mereka membawaku ikut serta dalam perjalanan hingga sampai di suatu negeri yang bernama Wadil Qura. Di sana aku mengalami pengkhianatan, mereka menjualku kepada seorang yahudi. Ketika itu aku melihat banyak pohon kurma, aku berharap sekiranya negeri ini yang disebutkan pendeta kepadaku dulu, yakni yang akan menjadi tempat hijrah Nabi yang ditunggu. Ternyata dugaanku meleset. Mulai saat itu aku tinggal bersama orang yang membeliku, hingga pada suatu hari datang seorang yahudi Bani Quraizhah yang membeliku pula daripadanya. Aku dibawanya ke Madinah, dan demi Allah baru saja kulihat negeri itu, aku pun yakin itulah negeri yang disebutkan dulu.



Aku tinggal bersama yahudi itu dan bekerja di sebuah kebun kurma milik Bani Quraizhah, hingga datang saat dibangkitkannya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang datang ke Madinah dan singgah pada Bani ‘Amar bin ‘Auf di Quba. Pada suatu hari, ketika aku berada di puncak pohon kurma, majikanku duduk di bawahnya, tiba-tiba datang seorang yahudi saudara sepupunya yang mengatakan padanya:

“Bani Qilah celaka! Mereka berkerumun mengelilingi seorang lelaki di Quba yang datang dari Mekah dan mengaku sebagai nabi utusan Allah, baru saja ia mengucapkan kata-kata itu, tubuhku pun bergetar keras hingga pohon kurma itu bagai bergoncang dan hampir saja aku jatuh menimpa majikanku. Aku segera turun dan kutanya kepada orang tadi: “Apa yang kau katakan?” Ada berita apa?” Majikanku mengangkat tangan lalu menumbukku sekuatnya, serta membentak “Apa urusan kau?, cepat! kembali pada pekerjaanmu!” Maka aku pun kembalilah bekerja.

Setelah hari petang, aku kumpulkan segala yang ada padaku, lalu keluar dan pergi menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Quba. Aku masuk kepadanya ketika beliau sedang duduk bersama beberapa orang anggota rombongan. Lalu kataku kepadanya: “Tuan-tuan adalah perantau yang sedang dalam memerlukan. Kebetulan aku mempunyai persediaan makanan yang telah aku janjikan untuk sedekah. Dan setelah mendengar keadaan tuan-tuan, maka menurut hematku, tuan-tuanlah yang lebih layak menerimanya, dan makanan itu kubawa ke sini”. Lalu makanan itu kuletakkan di hadapannya.

“Makanlah dengan nama Allah” sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada para sahabatnya, tetapi beliau tak sedikit pun mengulurkan tangannya menjamah makanan itu. “Demi Allah!” kataku dalam hati, inilah satu dari tanda-tandanya bahawa ia tak mahu memakan harta sedeqah.

Kemudian aku pulang, tetapi awal pagi keesokan harinya aku kembali menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sambil membawa makanan, dan kukatakan padanya: “Saya melihat tuan tidak mahu makan sedekah, tetapi saya mempunyai sesuatu yang ingin saya serahkan kepada tuan sebagai hadiah”, lalu aku meletakkan makanan di hadapannya. Maka sabdanya kepada shahabatnya: "Makanlah dengan menyebut nama Allah !" Dan beliaupun turut makan bersama mereka. “Demi Allah," kataku dalam hati, inilah tanda yang kedua, bahawa beliau bersedia menerima hadiah.

Aku kembali pulang dan tinggal di tempatku beberapa lama. Kemudian aku pergi mencari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan aku temui beliau di Baqi’, sedang mengiringkan jenazah dan dikelilingi oleh sahabat-sahabatnya. Beliau memakai dua lapisan kain lebar, yang satu dipakainya untuk disarung dan yang satu lagi sebagai baju.Ku ucapkan salam kepadanya dan aku menoleh pandangan hendak melihatnya. Rupanya ia mengerti akan maksudku, maka disingkapkannya kain burdah dari lehernya hingga nampak antara bahunya tanda yang kucari, yaitu tanda kenabian sebagai disebutkan oleh pendeta dulu. Melihatkan itu aku meratap dan menciumnya sambil menangis. Lalu aku dipanggil menghadap Rasulullah. Aku duduk di hadapannya, lalu kuceriterakan kisahku kepadanya sebagaimana yang telah aku ceritakan tadi.

Kemudian aku masuk Islam,akan tetapi kehambaan menjadi penghalang bagiku untuk menyertai perang Badar dan Uhud. Lalu pada suatu hari Rasulullah menitahkan padaku. "Mintalah pada majikanmu agar ia bersedia membebaskanmu dengan menerima wang tebusan.” Maka aku meminta kepada majikanku sebagaimana dititahkan Rasulullah, sementara Rasulullah menyuruh para sahabat untuk membantuku dalam soal kewangan.

Demikianlah aku dimerdekakan oleh Allah, dan hidup sebagai seorang muslim yang bebas merdeka, serta mengambil bahagian bersama Rasulullah dalam perang Khandaq dan peperangan lainnya. Dengan kalimat-kalimat yang jelas dan manis, Salman radhiyallahu ‘anhu menceritakan kepada kita usaha keras dan perjuangan besar serta mulia untuk mencari hakikat keagamaan, yang akhirnya dapat sampai kepada Allah Ta’ala dan membekas sebagai jalan hidup yang harus ditempuhnya ….

Comments

Popular posts from this blog

Perasaan

Hari ni aku bertarung dengan perasaan aku sendiri, aku tak mampu untuk meluahkan pada sesiapa. Ataupun perasaan ini hanya aku seorang yang merasainya. Maafkan aku kerana tak mampu untuk luahkan, bukan tak sudi tapi aku sendiri tak tahu bagaimana mahu mengungkapkannya. 

Sebarkannya..

Alhamdulillah,bersyukur ke hadrat ilahi kerana masih diberi peluang untuk menikmati sisa hidup di dunia yang seakan membenci dengan kerenah manusia yang pelbagai. Syukur kepada tuhan yang menjadikan sekalian alam kerana masih memberikan ruang untuk hambanya bertaubat dan menilai kembali hikmah dilahirkan ke dunia ini. Dalam sedar tak sedar,saya telah menetap di dunia Allah ini selama 23 tahun. Saya sendiri tidak tahu apakah hikmah kelahiran saya di bumi Allah. Adakah semata-mata untuk melakukan maksiat dan sebagainya. Selalu kedengaran cakap-cakap; "ala,nama pun manusia,mestilah ada salah dan silap" .. Tapi takkan dengan ungkapan ini memberi isyarat untuk kita sering melakukan maksiat dan terus melakukannya. Tuhan memberi akal dan fikiran untuk memilih cara hidup dan jalan kehidupan masing-masing,dan kita dibekalkan dengan hawa nafsu untuk menguji tahap keimanan masing-masing. Terkadang selalu bermain dalam fikiran,bagaimanakah nanti pengakhiran kehidupan,baik atau sebaliknya...

TIPS MELANCONG JIMAT 2

Post sebelum ni aku dah kongsikan pasal tips-tips dan nasihat sebelum memulakan perjalanan, iaitu perkara yang perlu diselesaikan semasa di tanah air. Untuk post kali ini, aku cuba perincikan beberapa tips berdasarkan pengalaman aku sendiri. #BEG DAN PAKAIAN Pertama sekali korang mesti cari beg yang sesuai bergantung kepada tempat yang hendak dilawati. Dan yang paling penting ikut keselesaan korang. Jangan terlalu mengikut orang, orang nak pakai beg ni korang pun nak pakai, orang pakai beg tu korang pun nak pakai. Istilah mengembara bukan terletak pada apa yang korang pakai. Sesetengah tempat seeloknya kita gunakan backpack , tapi kalau korang ada banyak mak nenek nak bawa pakai jela suitcase. Mana-mana pun elok je. Kalau boleh korang bawa satu lagi beg tambahan bersaiz kecil untuk korang sumbat segala barang peribadi seperti dompet,pasport,kamera dan lain-lain yang penting. Jadi, bila korang keluar jalan-jalan tu tak perlu bawa beg besar.  Yang kedua ialah pakaian....